4 hari untuk cari dalang tragedi letupan Pelabuhan Beirut | Eropah

4 hari untuk cari dalang tragedi letupan Pelabuhan Beirut | Eropah

PARIS: Kerajaan Lubnan memberi masa empat hari kepada jawatankuasa penyiasat untuk menentukan siapa bertanggungjawab dalam tragedi letupan di Pelabuhan Beirut Selasa lalu.

Menteri Luar Lubnan, Charbel Wehbe, hari ini memaklumkan perkara itu dalam temu bual dengan stesen radio di Perancis, Europe 1.

“Pagi tadi keputusan dibuat bagi menubuhkan jawatankuasa penyiasat, yang dalam empat hari akan menyediakan laporan terperinci mengenai bagaimana, siapa, apa dan di mana tragedi ini berlaku, disusuli tindakan kehakiman.

“Ini perkara serius dan kita menanganinya secara serius, mereka bertanggungjawab dalam jenayah kecuaian yang dahsyat ini akan menerima hukuman seperti mana diputuskan jawatankuasa kehakiman,” katanya.

Setakat ini, 137 mangsa disahkan maut manakala lebih 5,000 cedera tetapi angka berkenaan dijangka meningkat seiring perkembangan kerja mencari dan menyelamat (SAR) di bawah timbunan runtuhan bangunan.

Punca letupan tidak diketahui dengan jelas tetapi pegawai mengaitkan letupan itu dengan 2,750 tan amonium nitrat yang dirampas dan disimpan di gudang di pelabuhan Beirut selama enam tahun.

Kata Wehbe, itu membuktikan wujud kelemahan pengurusan dalam mengendalikan bahan berbahaya dalam jumlah yang besar dan kecuaian itu berlarutan selama enam tahun.

Badan Pemerhati hak Asasi Sedunia pula menyertai gesaan antarabangsa supaya satu siasatan bebas membabitkan pakar antarabangsa dijalankan bagi memastikan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.

Di Perancis, pihak pendakwa susah membuka siasatan berhubung letupan itu, yang turut mencederakan 24 warga negaranya.

Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, adalah pemimpin dunia pertama melawat Beirut hari ini selepas tragedi itu.

Beliau melawat tapak letupan yang kini dipenuhi sisa bangunan di sekeliling kawah berukuran 140 meter lebar yang kini dipenuhi air laut.

Lawatan beliau ke tapak bangunan farmasi yang musnah diiring orang ramai yang marah sambil melaung “pemimpin pengganas” , “revolusi” dan “kami mahukan regim ini digulingkan”.

Malah, seorang lelaki turut mempelawa Macron memerintah Lubnan, yang juga tanah bekas jajahan Perancis. – AFP

Share This Article