Tidak perlu borang ‘EnterSarawak’ untuk masuk ke negeri itu | Nasional

Tidak perlu borang ‘EnterSarawak’ untuk masuk ke negeri itu | Nasional

KUCHING: Warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang memasuki negeri Sarawak tidak perlu lagi memohon dan mengisi borang “EnterSarawak.”

Bagaimanapun, mereka masih diwajibkan mengisi Borang Pengisytiharan Kesihatan, demikian diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Bagaimanapun, warga Malaysia dan warga asing yang tiba atau transit dari luar negara, mereka masih perlu memohon dan mengisi borang EnterSarawak dan Borang Pengisytiharan Kesihatan,” menurut kenyataan jawatankuasa itu hari ini.

Warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang masuk ke Sarawak dengan destinasi terakhir mereka di kawasan pedalaman serta jauh dari klinik kesihatan yang menyediakan kemudahan untuk mengambil sampel COVID-19, akan dikuarantin di hotel.

“Sampel akan diambil pada hari kedua dan sekiranya keputusan adalah negatif, barulah mereka dibenarkan balik ke rumah masing-masing,” katanya.

Kenyataan itu menyebut warganegara Malaysia yang menjadikan mana-mana kawasan yang menyediakan kemudahan mengambil sampel COVID-19 sebagai destinasi terakhir mereka akan dipakaikan gelang tangan dan dibenarkan balik ke rumah masing-masing.

“Sampel COVID-19 akan diambil pada hari kedua di lokasi klinik kesihatan yang berhampiran. Sekiranya keputusan adalah negatif, mereka tidak perlu lagi menyambung baki hari mereka perlu dikuarantin,” menurut kenyataan itu.

Tiada kes baharu COVID-19 dilaporkan di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kekal sebanyak 678 dengan 19 kematian. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19
  • Share This Article