Jururawat, Relawan Utamakan Masa Bermutu Bersama Keluarga, Berita Setempat

Jururawat, Relawan Utamakan Masa Bermutu Bersama Keluarga, Berita Setempat

PENGALAMAN sebagai jururawat dan bapa saling melengkapi untuk membantunya menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Demikian dikongsi Encik Mohd Adnan Mahmud, 59 tahun, seorang Jururawat Klinisian di Jabatan Kawalan Jangkitan Penyakit Kelamin (DSC) kendalian Pusat Kulit Nasional (NSC).

Sebagai seorang jururawat, beliau menyelia operasi klinik, merawat pesakit, menyelia pasukan jururawat dan membimbing doktor muda, jururawat dan doktor sementara.

“Saya rasa topik penyakit jangkitan kelamin merupakan sesuatu yang perlu dibincangkan agar lebih ramai orang peka dan dapat mengambil langkah berjaga-jaga,” kata beliau yang sering terlibat dalam program-program kemasyarakatan.

Antara lain beliau terlibat dalam program mendidik pekerja-pekerja asing tentang Jangkitan Penyakit Kelamin (STI) serta menguji mereka untuk STI yang dianjurkan Persatuan Jururawat Singapura.

Di luar pekerjaan sebagai jururawat, Encik Mohd Adnan juga terlibat dalam kegiatan sukarela.

Sikap ingin membantu inilah yang dijadikan inspirasi bagi anak keduanya menceburi bidang kajian agar dapat membantu orang lain dan melakukan perubahan dengan kajian beliau.

“Memang saya rasa gembira jika anak atau cucu saya menceburi bidang penjagaan kesihatan seperti saya dan isteri kerana ia merupakan satu pekerjaan yang mulia.

“Namun, saya tidak memaksa kerana percaya mereka perlu ada minat untuk lakukan apa pun dalam hidup,” ujar Encik Mohd Adnan yang mempunyai tiga anak dan seorang cucu.

Baginya, keluarga adalah institusi penting dan amanah yang dikurniakan kepadanya.

“Kadangkala, semasa merawat pesakit muda, saya juga risaukan anak-anak saya kerana saya tidak tahu apa yang mereka lakukan di luar rumah,” kata Encik Mohd Adnan yang juga mendidik anak-anaknya sambil melakukan kerja rumah.

Naluri bapa yang inginkan terbaik untuk anak-anaknya sentiasa di fikiran dan beliau percaya sokongan isteri amat penting selama lebih 30 tahun mereka berkahwin.

Isterinya, seorang bekas jururawat, berhenti kerja apabila mereka dikurniakan cahaya mata kedua kerana ingin memberikan lebih perhatian dalam membesarkan anak.

Sebagai jururawat klinisian, Encik Mohd Adnan tidak bekerja pada hujung minggu dan masa itu diluang bersama keluarga dengan kegiatan riadah seperti berbasikal dan berjalan pantas.

“Aktiviti seperti ini, biarpun singkat, merapatkan ukhwah bersama anak dan keluarga. Masa yang diluangkan memastikan hubungan kekal rapat dan kami dapat berinteraksi,” tambah beliau yang percaya ibu bapa memainkan peranan dalam membentuk anak.

“Sebagai ayah, kita perlu pastikan kita menjadi teladan bagi anak-anak kerana mereka sentiasa memerhatikan kita untuk dijadikan inspirasi,” kata beliau.

Share This Article