Hpb Bakal Lantik Ceo Baru 1 Julai Ini, Berita Setempat

Hpb Bakal Lantik Ceo Baru 1 Julai Ini, Berita Setempat

LEMBAGA Penggalakan Kesihatan (HPB) bakal mendapat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru 1 Julai ini.

Dalam satu kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan HPB hari ini (10 Jun), Pengarah Kanan (Belia) di Kementerian Budaya, Masyarakat dan Belia (MCCY), Encik Tay Choon Hong akan menggantikan Encik Koh Peng Keng, CEO sementara HPB.

Encik Koh akan teruskan peranannya sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) di lembaga itu selepas pengalihan jawatannya kepada Encik Tay.

Encik Tay, yang juga Timbalan Ketua Eksekutif Kebangsaan Majlis Belia (NYC), telah berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah HPB sejak April 2018.

Dalam tugasnya bersama MCCY, Encik Tay telah bantu memacu aliran kerja utama di bawah Pelan Tindakan Belia SG untuk melaksanakan program penyertaan sivik kebangsaan, dan mengawasi usaha seluruh pemerintah yang berkaitan dengan belia di sepanjang domain pekerjaan utama dan masa depan kerja, serta kelestarian alam sekitar.

Di NYC pula, beliau mengetuai konsep Cabaran Tindakan Belia, sebuah program pembangunan belia untuk mengubahkan idea mereka kepada projek konkrit bagi perubahan masyarakat yang positif.

Sebelum pelantikannya di MCCY dan NYC, Encik Tay telah memegang pelbagai jawatan penting di perkhidmatan awam.

Ini termasuk menjadi Pengarah (Pejabat Transformasi) dan Pengarah (Moments of Life – Families) di Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD); serta Pengarah (Dasar & Perancangan) dan Pengarah (Dasar Perkahwinan & Keibubapaan) di  Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD), Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Share This Article