Bukit Merah, Queenstown Antara 4,583 Flat Bto Baru, Berita Setempat

Bukit Merah, Queenstown Antara 4,583 Flat Bto Baru, Berita Setempat

LEMBAGA Perumahan dan Pembangunan (HDB) semalam mengumumkan pelancaran sejumlah 4,583 flat baru di bawah Skim Bina-Ikut-Tempahan (BTO) .

Ia merangkumi lima projek perumahan di lima estet – Bukit Merah, Queenstown, Toa Payoh, Jurong West and Yishun.

Dua projek – di Bukit Merah dan Queenstown – adalah di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) yang dikenakan syarat pembelian dan jualan lebih ketat.

Pembeli flat PLH perlu membayar 6 peratus daripada harga penilaian atau jualan semula kepada HDB – melihat pada harga mana yang lebih tinggi – apabila mereka menjual flat mereka di pasaran terbuka buat pertama kali.

Tambahan daripada itu, terdapat sejumlah 1,952 flat yang ditawarkan buat pertama kalinya tahun ini di bawah skim Penjualan Flat Baki (SBF).

Pembeli yang ingin cepat masuk ke rumah baru boleh menimbangkan untuk membeli flat bagi projek di Jurong West dan Yishun – kedua-duanya bukan di estet matang dan kadar permohonannya lebih rendah, dengan masa menunggu pula sekitar 3.8 tahun atau kurang daripada itu.

Secara keseluruhannya, sejumlah 6,535 flat baru dilancarkan semalam.

Di Bukit Merah, yang merupakan estet perumahan matang, Bukit Merah Ridge menawarkan sebanyak 1,669 flat tiga bilik, empat bilik dan lima bilik, meliputi lima blok yang berketinggian 29 hingga 48 tingkat.

Projek ini bersempadankan laluan jalan raya keluar masuk ke Henderson, Tiong Bahru dan Lower Delta. Bakal penduduk akan menikmati kemudahan stesen MRT Redhill dan Tiong Bahru.

Harga flat yang ditawarkan adalah diantara $377,000 hingga $509,000, tanpa geran, untuk sebuah unit tiga bilik; dari $540,000 ke $737,000 untuk sebuah flat empat bilik.

Harga flat adalah agak rendah berbanding yang ditawarkan bagi projek BTO Rochor pada November tahun lalu, yang juga berasaskan model PLH.

Harga bermula dari $409,000 untuk sebuah unit tiga bilik dan $582,000 untuk jenis empat bilik.

Pembeli untuk flat di Bukit Merah perlu menunggu sekitar 60 bulan, atau 5 tahun, memandangkan projek ini dijangkakan siap dibina pada suku pertama 2028.

Di Queenstown pula, juga sebuah estet matang, sejumlah 867 flat tiga dan empat bilik merentasi empat blok ditawarkan di Ghim Moh Ascent. Ia melibatkan dua blok 40 tingkat, dan dua blok setinggi antara lapan dan 31 tingkat.

Tapak itu terletak bersebelahan stesen MRT Buona Vista dan dikelilingi oleh Ghim Moh Road, Ghim Moh Close dan Koridor Rel.

Harga yang ditawarkan adalah dari $369,000 ke $481,000 untuk flat tiga bilik, dan $511,000 ke $691,000 untuk flat empat bilik.

Pembeli juga perlu menunggu sekitar 60 bulan untuk flat-flat ini.

Sedang pemilik flat PLH dikenakan tempoh penginapan minimum selama 10 tahun, berbanding lima tahun bagi flat-flat lain, sebelum mereka boleh menjualnya di pasaran terbuka.

Share This Article