Usaha Sg Cares Perkukuh Sokongan Masyarakat, Kesukarelawanan Berasas Kemahiran, Berita Setempat

Usaha Sg Cares Perkukuh Sokongan Masyarakat, Kesukarelawanan Berasas Kemahiran, Berita Setempat

MEMAKSIMUMKAN sumber dengan lebih baik serta menggalakkan jurutera menyumbang kembali kepada masyarakat, diantara usaha-usaha SG Cares memperkukuhkan sokongan kepada usaha masyarakat ke arah rumah yang lebih prihatin untuk semua serta membina kesukarelawanan yang berasaskan kemahiran.

Itulah matlamat kedua-dua memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani semalam oleh Pejabat SG Cares Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) bersama FairPrice Group dan Lembaga Jurutera Profesional (PEB).

MOU itu di tandatangani oleh Timbalan Setiausaha (Komuniti dan Belia) MCCY, Encik Philip Ong, bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Jenama Sendirian dan Penyelesaian Makanan Perniagaan, Kumpulan FairPrice, Cik Grace Chua, dan Presiden PEB, Encik Lim Peng Hong.

Tetamu terhormat, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, berkata dalam usaha mereka memperkukuh prasarana perkhidmatan sosial, adalah sama pentingnya untuk mengembangkan sumber dan perkhidmatan yang boleh dilakukan oleh badan amal, agensi perkhidmatan sosial dan rakan kongsi untuk mereka memanfaatkan dan membantu dalam operasi mereka.

“Perkongsian hari ini, PEB dan FairPrice Group akan mengukuhkan pergerakan SG Cares kami – untuk mengembangkan kesukarelawanan yang berasaskan kemahiran serta menggalakkan lebih banyak syarikat korporat untuk bekerjasama dengan organisasi di dalam sektor tidak berasaskan keuntungan untuk melakukan kebajikan dan saya harap lebih ramai akan mendapat inspirasi untuk menyertai kami dalam menjadikan Singapura sebuah rumah penyayang dan inklusif untuk semua,” ujar beliau.

Pejabat SG Cares, akan bekerjasama dengan FairPrice Group untuk membolehkan Pusat Sukarelawan (VC) SG Cares dan rakan kongsi komuniti mereka memaksimumkan sumber dengan lebih baik apabila membeli barangan secara pukal dan diberikan diskaun sehingga 10 peratus untuk makanan dan barangan rumah berjenama FairPrice.

Cik Chua juga menyatakan bahawa FairPrice Group mengiktiraf kepentingan untuk menyokong golongan kurang bernasib baik.

“Melalui inisiatif bersama SG Cares ini, kami dapat memperkasakan Pusat Sukarelawan SG Cares dan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan untuk bekerjasama dan meningkatkan lagi dolar mereka supaya boleh membantu meringankan kos keperluan harian keluarga dan individu yang memerlukan,” kata beliau.

Menurut Eksekutif Operasi, Persatuan Muslim India Bersatu, Encik Muhammad Habib, inisiatif FairPrice Group bersama SG Cares membolehkan mereka memperoleh sedikit penjimatan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Dengan menggunakan diskaun untuk membeli produk secara pukal, ia juga menjimatkan masa dan membolehkan kami menjadualkan pesanan di masa hadapan,” kata beliau.

Sementara itu, PEB akan hadir sebagai Perantara Nasional SG Cares untuk mengembangkan kesukarelawanan yang berasaskan kemahiran serta menggalakkan jurutera profesional (PE) menggunakan kepakaran dan kemahiran mereka untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Pejabat SG Cares akan menghubungkan PE kepada SG Cares VC dan organisasi amal yang memerlukan perkhidmatan mereka untuk menyemak dan memperakui keperluan berkanun berkaitan dengan keselamatan di premis mereka.

Encik Lim berkata bahawa PEB akan terus menyumbang kembali kepada masyarakat Singapura sambil meraikan ulang tahunnya yang ke-50.

“MOU ini menyediakan satu lagi jalan untuk PE menyumbang secara aktif kepada masyarakat dan kami yakin perkongsian ini akan mencipta legasi baru,”ujar beliau.

Encik Ong juga mengalu-alukan FairPrice Group dan PEB sebagai juara pergerakan SG Cares.

“Kita menjadikan masyarakat yang lebih baik apabila kita bekerjasama untuk mengembangkan budaya penyayang merentas organisasi untuk menyumbang kepada kebaikan bersama,” kata beliau.

Share This Article