Fairprice Tawar Diskaun 10% Bagi Empat Jenama Minyak Masak, Berita Setempat

Fairprice Tawar Diskaun 10% Bagi Empat Jenama Minyak Masak, Berita Setempat

PASAR raya NTUC FairPrice akan menawarkan diskaun 10 peratus bagi empat jenama produk minyak masak bagi menangani keprihatinan pelanggan terhadap harga minyak yang semakin meningkat.

Diskaun tersebut akan ditawarkan di semua pasar raya FairPrice termasuk wadah dalam talian FairPrice Online hingga 1 Jun.

Empat jenama itu terdiri daripada minyak masak jenama Knife, Rice Field, Duck, dan Cock.

Setiap pelanggan boleh membeli hingga dua botol minyak dari mana-mana jenama semasa tempoh tawaran tersebut untuk memastikan lebih banyak isi rumah yang berpeluang meraih manfaat dari inisiatif ini.

Menurut kenyataan NTUC FairPrice pada Selasa (24 Mei), harga minyak masak telah meningkat tiga hingga 25 peratus – bergantung kepada jenama, saiz, jenis minyak dan negara asal – sejak awal tahun ini.

Ketua Pegawai Perolehan FairPrice Group, Encik Tng Ah Yiam, berkata harga minyak masak terus meningkat dalam pasaran yang bergolak disebabkan beberapa faktor termasuk krisis Russia-Ukraine.

“Untuk memberi keyakinan dan dalam usaha mengembalikan keadaan seperti biasa dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ini, FairPrice komited untuk memastikan keperluan harian terus tersedia dan kekal dimampui.

“Kami akan berusaha untuk mengekalkan harga yang sama seboleh mungkin, dan dalam hal ini, cuba untuk mengurangkan harga sejauh mungkin.”

FairPrice membekalkan minyak masak dari beberapa sumber termasuk Malaysia, Thailand, Italy, Sepanyol dan juga dari Singapura.

Inisiatif tersebut merupakan salah satu usaha FairPrice untuk menetapkan harga keperluan harian di Singapura.

Semasa tempoh tawaran itu, sebotol minyak masak jenama Knife dua liter boleh didapatkan pada harga $7.20, berbanding harga runcit $8.05 sementara minyak jenama Rice Field ditawarkan pada harga $8.30, berbanding $9.25 sebelum ini.

Sementara itu, minyak masak jenama Duck pula boleh dibeli pada harga $6, berbanding $6.70 sebelumnya, dan jenama Cock dijual pada harga $13.15, berbanding $14.65 sebelum ini.

Share This Article