Berani Ambil Laluan Berbeza Ceburi Bidang Diminati, Berita Setempat

Berani Ambil Laluan Berbeza Ceburi Bidang Diminati, Berita Setempat

MERAIH kecemerlangan di perjalanan akademik yang kurang dilalui orang ramai.

Itulah yang dilakukan Encik Khayr Eddin Ahmad, 20 tahun, apabila beliau memutuskan untuk menghenti pengajiannya di Maktab Rendah Saint Andrews (SAJC) selepas hanya dua bulan beliau mula pengajiannya di sana.

Bekas pelajar dari Sekolah Menengah North Vista itu meraih keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’ yang cemerlang dan pada mulanya berasa ghairah kerana dapat melanjutkan pelajarannya di SAJC bersama rakan-rakannya.

Namun, keghairahannya mula pudar apabila beliau merasakan subjek yang dipelajari di SAJC tidak sepadan dengan minat beliau dalam biologi dan penjagaan kesihatan.

Dengan sokongan ibu bapa beliau, beliau memutuskan untuk menukar sekolah dan menceburi diploma dalam bidang Bioteknologi Molekul di Politeknik Nanyang (NYP).

Walaupun beliau akur keputusan untuk berpindah dari SAJC ke politeknik dibuat oleh dirinya sendiri, beliau tidak sangka akan berada pada tahap paling rendah apabila muncul perasaan ragu dalam dirinya.

Malah, beliau merasa agak kehilangan dan tertekan selepas menghadiri kuliah pertamanya di NYP, yang diburukkan lagi dengan keraguan yang dihadapinya kerana sering kali memikirkan jika keputusan untuk bertukar sekolah itu adalah yang terbaik buat dirinya.

Mujur, lama-kelamaan, dengan bantuan dan sokongan rakan sebaya dan pensyarah, Cik Ng Sin Wei, yang benar-benar mengambil berat tentang kesejahteraannya, beliau mula berasa lebih yakin dan tidak meragui kebolehannya sendiri.

Dengan adanya galakan dari rakan-rakan dan pensyarahnya, Encik Khayr berazam untuk memanfaatkan masanya di NYP sepenuhnya.

“Pada mulanya, saya memang berminat dalam bidang biologi dan penjagaan kesihatan, tetapi saya terpengaruh untuk mengikuti langkah rakan-rakan saya dalam perjalanan akademik yang biasa diceburi setelah meraih keputusan yang cemerlang di peperiksaan GCE Peringkat ‘O’.

“Ini membuat saya meragui keputusan saya untuk berpindah ke NYP dan mula merasakan bahawa saya telah membuat keputusan yang tidak rasional dan ini menjelma menjadi kebimbangan yang besar bagi saya pada seluruh Tahun Satu saya di NYP,” kata anak bongsu tiga beradik itu.

Kini, Encik Khayr boleh mengatakan dengan yakin bahawa keputusan itu adalah yang terbaik buat dirinya kerana beliau berjaya meraih Diploma dalam Bioteknologi Molekul dengan Gred Purata Mata (GPA) 4.0 yang cemerlang dan meraih pingat emas Shimadzu (Asia Pasifik), yang dianugerahkan kepada pelajar terbaik di dalam kursus tersebut.

Bagi beliau, salah satu pengalaman yang paling menggembirakan di NYP ialah ketika beliau menyertai Cabaran Anatomi LKCMedicine, satu pertandingan nasional yang dianjurkan oleh Sekolah Perubatan Lee Kong Chian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Pertandingan itu bukan sahaja mencabar pengetahuan para peserta tentang anatomi manusia, tetapi juga keupayaan mereka untuk menggunakan pengetahuan perubatan kepada senario kehidupan sebenar.

Sebagai ketua pasukan, Encik Khayr memberikan sokongan emosi dan menjadi tunggak kekuatan kepada ahli pasukannya yang tertekan dengan ketegasan pertandingan dan landasan persiapan yang singkat.

Namun, Khayr mengetuai pasukannya dan mereka muncul sebagai juara, mengalahkan 20 institusi pendidikan lain.

Khayr juga menerima Sijil Kecemerlangan memandangkan prestasinya yang boleh dicontohi.

“Pertandingan ini mendalamkan lagi minat saya dalam bidang biologi dan penjagaan kesihatan dan ia juga mengesahkan kepada diri saya bahawa keputusan saya untuk menceburi bidang yang diminati adalah yang terbaik, walaupun jalannya berlainan daripada perjalanan akademik yang biasa,” katanya, yang juga meluangkan masa sebanyak dua kali seminggu sebagai sukarelawan di Canberra Homework Clinic untuk membantu pelajar sekolah rendah dan menengah dengan kerja rumah mereka.

Berbekalkan keinginan beliau untuk berkhidmat kepada masyarakat, Khayr bercita-cita untuk bekerja dalam sektor penjagaan kesihatan di barisan hadapan, di mana beliau boleh berinteraksi dengan para pesakit.

Kini, beliau sedang menantikan untuk menjalani Perkhidmatan Negaranya sebelum melanjutkan pelajaran di universiti setempat.

Beliau telah menerima tawaran dari NTU dalam bidang Sains Biologi dan Psikologi dan sedang menantikan tawaran dari Universiti Nasional Singapura dalam bidang Perubatan.


“Pada mulanya, saya memang berminat dalam bidang biologi dan penjagaan kesihatan, tetapi saya terpengaruh untuk mengikuti langkah rakan-rakan saya dalam perjalanan akademik yang biasa diceburi setelah meraih keputusan yang cemerlang di peperiksaan GCE Peringkat ‘O’.”
– Encik Khayr Eddin Ahmad.

Share This Article