Pm Lee, Ho Ching Akan Terima Penghormatan Diraja Dari Sultan Johor, Berita Setempat

Pm Lee, Ho Ching Akan Terima Penghormatan Diraja Dari Sultan Johor, Berita Setempat

PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, akan menerima darjah tertinggi negeri Johor daripada Sultan Ibrahim Iskandar.

Isteri beliau, Cik Ho Ching, pula akan menerima anugerah negeri, dalam sebuah majlis penyampaian di Johor pada Jumaat (6 Mei).

Encik Lee dan Cik Ho akan mengunjungi negeri itu untuk menghadiri majlis tersebut, yang bakal berlangsung di Istana Besar di Johor Bahru, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada Khamis.

Encik Lee akan dikurniakan pangkat Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor, atau singkatannya SPMJ, yang bermakna Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia, Kelas Pertama.

Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia ini adalah darjah tertua yang diberi mana-mana negeri di Malaysia, dan dizahirkan pada 1886 berdasarkan Darjah Inggeris St Michael dan St George.

Menurut maklumat yang disampaikan Presiden Majlis Diraja Johor Rahim Ramli, sebelum ini Sultan Abu Bakar (Johor) mentauliahkan darjah tersebut bagi menghormati dan menghargai perkhidmatan dan sumbangan para pegawainya yang setia.

Ia juga sebagai membalas penganugerahan kehormat dan keistimewaan yang dikurniakan kepadanya oleh mahkamah diraja Eropah.

Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia mempunyai tiga pangkat, iaitu Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor, Dato’ Paduka Mahkota Johor dan Setia Mahkota Johor.

Ia biasnaya disampaikan kepada “Orang Melayu yang mengutamakan agama Islam dan rakyat kerajaan yang memaparkan kesetiaan, sifat baik, dan bakat, dan telah memberikan khidmat tidak ternilai kepada Sultan dan negeri”.

Ia juga diberi kepada “Orang Melayu dari negeri lain, dan bangsa lain tidak kira rakyat kerajaan atau bukan dan telah memenuhi kriteria”, yang mungkin dijemput sebagai anggota kehormat.

Share This Article