Pasangan Suami Isteri Maut Dalam Satu Kemalangan Jalan Raya Di Jawa Timur, Berita Setempat

Pasangan Suami Isteri Maut Dalam Satu Kemalangan Jalan Raya Di Jawa Timur, Berita Setempat

KURANG setahun lalu, Encik Firdaus Harun Rashid, kehilangan ibunya yang tersayang pada bulan Ramadan.
Pada Isnin (18 April), Encik Firdaus, 31 tahun, pula yang pulang ke rahmatullah – juga pada bulan Ramadan – setelah warga Singapura itu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Jawa Timur, Indonesia.
Isterinya, Cik Amal Sheikh Al Aidros Al Haddad, seorang warga Yaman yang dinikahinya hanya beberapa bulan lalu, juga maut dalam nahas yang berlaku di kota Probolinggo pada 12.10 tengah malam, lapor laman berita Detik.com.
Mereka dilaporkan menaiki kereta Vellfire bersama anggota kumpulan muzik sufi, Debu, dari Indonesia, dan kereta itu telah berlanggar dengan sebuah lori.
Seramai empat penumpang kereta itu dilaporkan cedera dan menerima rawatan di hospital.
Jenazah pasangan itu dijadual pulang ke Singapura pada hari Rabu (20 April), kata Cik Haliza Harun Rashid, kakak kepada Allahyarham Firdaus, apabila dihubungi Berita Harian pada Selasa (19 April).
“Kehilangannya memang dirasakan oleh keluarga kami kerana ibu kami meninggal dunia tidak sampai setahun lalu.
“Adik saya amat sayang kepada ibu, dan kini dia menyusul ibu pergi. Ibu kami (Allahyarhamha Tajunnisa Begum) meninggal dunia pada 30 Ramadan (tahun lalu), adik saya pula meninggal pada 16 Ramadan,” ujar Cik Haliza, 40 tahun.
Beliau sekeluarga berada di Surabaya bagi menguruskan jenazah untuk dibawa pulang ke Singapura.
Allahyarham Firdaus merupakan anak bongsu dalam lima beradik.

Share This Article