Sbf Anjur Persidangan Bincang Cara Transformasi Perniagaan Dalam Dunia Pandemik, Berita Setempat

Sbf Anjur Persidangan Bincang Cara Transformasi Perniagaan Dalam Dunia Pandemik, Berita Setempat

WADAH perniagaan antarabangsa peringkat tinggi yang bakal menyatukan pemimpin dunia perniagaan dengan tujuan memperkasa dan meneroka cara terbaik bagi peniaga mencapai potensi maksimum mereka dalam dunia endemik Covid-19 bakal diadakan minggu depan.

Sidang Puncak Perniagaan Apex Singapura (SABS) yang diadakan buat julung-julung kalinya itu akan diadakan secara hibrid- secara fizikal dan juga dalam talian- di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands dari 22 hingga 25 Mac.

Sidang tersebut akan memberi tumpuan kepada tema “Menjana Transformasi Perniagaan dalam Dunia Endemik” dan diharapkan dapat memperbarui fokus untuk menyokong perniagaan dan perusahaan menyesuaikan diri kepada permintaan yang berubah.

Ini termasuk proses-proses pendigitalan, peralihan perdagangan global disebabkan pandemik serta trend akan datang termasuk kemampanan dan keutamaan yang diletakkan terhadap isu-isu persekitaran dan sosial.

Ia juga diadakan sempena ulang tahun ke-20 Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), yang akan menganjurkan sidang tersebut bersama syarikat penganjur acara dan konvensyen, MP Singapore Pte Ltd.

Selama tempoh sidang selama empat hari itu, SABS akan menawarkan pelbagai acara termasuk siri ceramah, perbincangan panel dan juga sesi beramah antara peserta.

Antara tetamu terhormat yang bakal menghadiri dan berucap semasa acara itu termasuk Presiden Halimah Yacob; Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, Encik Heng Swee Keat; Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong; Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo; Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran; dan Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBF, Encik Lam Yi Young, berkata acara itu diharap dapat membantu perniagaan bangkit semula lebih kukuh dan memulakan pemulihan ekonomi yang sudah lama dinantikan.

“Sedang kita menjalani pemulihan ekonomi dan melihat kepada perkembangan, cara terbaik untuk mempersiapkan diri adalah melalui transformasi perniagaan dan pendigitalan.

“SABS menawarkan wadah penting bagi masyarakat perniagaan untuk bertemu dan berkongsi pengalaman dan pengetahuan, memberikan pendapat yang bernilai serta mewujudkan peluang baru bagi satu sama lain.

“Melalui wadah ini, kami berharap perniagaan dapat terus bangkit lebih kukuh dan mula menjalani pemulihan ekonomi yang dialu-alukan,” katanya.

Lima acara utama semasa SABS adalah Forum Perniagaan Serantau Singapura (SRBF), Persidangan Asean, Persidangan dan Pameran Ekonomi Masa Depan (FECE), Simposium TAC dan Hari FTA.

Acara khas sambutan ulang tahun SBF ke-20 juga bakal diadakan semasa SABS.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di singaporeapexbusinesssummit.com/programme.

Share This Article