26 Disiasat Ekoran Serbuan Di Pusat Ktv, Berita Setempat

26 Disiasat Ekoran Serbuan Di Pusat Ktv, Berita Setempat

WALAUPUN karaoke masih dilarang, pusat KTV tidak rasmi – dan haram – masih tetap kembali muncul di seluruh Singapura.

Akibatnya, polis membuat serbuan minggu lalu dan menutup dua pusat KTV, serta mengakibatkan 26 orang disoal siasat.

Polis berkata kelmarin bahawa 17 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 23 dengan 64 tahun ditemui di dua “kedai berkonsep KTV tidak berlesen” yang mereka serbu selepas mendapat maklumat dan aduan orang ramai, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Seramai 26 orang itu, termasuk pengendali dan pelanggan, belum ditahan tetapi sedang membantu siasatan.

Jika didapati bersalah melanggar peraturan Covid-19, mereka boleh dikenakan denda, penjara atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dan perniagaan dinasihatkan supaya mengambil langkah pengurusan keselamatan yang sedia ada dengan serius,” kata polis dalam satu kenyataan.

Serbuan pertama Rabu lalu dilancarkan selepas polis menerima maklumat mengenai pusat haram di sebuah unit perindustrian di Ubi Avenue 4.

Ketika masuk, pegawai mendapati 12 lelaki dan enam wanita sedang berinteraksi. Empat bilik KTV telah dibentuk dalam unit itu, setiap satu dilengkapi dengan sistem karaoke, pembesar suara, mikrofon dan set televisyen. Minuman ber alkohol juga disediakan.

Operasi kedua sehari kemudian dilakukan di Bedok Road selepas aduan bunyi bising. Kali ini, empat lelaki dan tiga wanita ditemui berkumpul di kedai itu.

Mesej teks haram yang berkaitan dengan perjudian secara jarak jauh juga ditemui dalam telefon lelaki itu, dan mereka akan disiasat lebih lanjut mengenai tuduhan tersebut.

Jika didapati bersalah melanggar peraturan jarak selamat Covid-19, pesalah boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga $10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pengendali yang menyediakan hiburan awam dan membekalkan alkohol tanpa lesen yang sah juga boleh didakwa di bawah dua pertuduhan, setiap daripadanya boleh dikenakan denda sehingga $20,000.

Polis berkata pihaknya akan terus melakukan pemeriksaan secara berkala.

Akhir tahun lalu, polis menyiasat 131 orang selepas operasi Krismas dua hari yang menyasarkan pusat hiburan awam dan hiburan malam, mendapati beberapa pelanggaran peraturan berlaku.

Pada Januari lalu, 62 orang lagi telah ditangkap kerana tindakan haram yang sama, dan 15 daripada mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

Pada Februari lalu, sebuah kedai berkonsep KTV tidak berlesen di Syed Alwi Road diserbu menyebabkan 97 orang disiasat. Ia mempunyai 22 bilik karaoke di tingkat atas tiga unit rumah kedai.

Setiap bilik mempunyai sistem karaoke, pembesar suara, mikrofon dan set televisyen.

Share This Article