Bukan niat menunjuk | Harian Metro

Bukan niat menunjuk | Harian Metro


TAK pernah kisah sama ada popular atau tidak dalam kalangan peminat sepanjang berada di dalam industri seni.

Itulah pendirian Reen Rahim, 33, sepanjang lapan tahun bergelar pelakon.

Reen mengakui, isu berpakaian tidak sesuai ketika sedang mengaji al-Quran dengan ibunya baru-baru ini bukan sesuatu yang disengajakan serta untuk meraih perhatian.

“Itu memang kejadian tak sengaja dan tak boleh disengajakan pun. Benda itu bukan main-main kerana membabitkan kitab suci al-Quran.

“Saya pun dah terangkan semuanya menerusi program Melodi baru-baru ini dan minta maaf kepada semua. Perkara itu pun dah selesai,” katanya.

Reen yang dikenali kerana keberanian berpakaian seksi berkata, ada juga pihak yang menganggap ini penampilan baharunya dan dia menyanggah kenyataan terbabit.

“Sebenarnya saya memang begitu. Saya sebenarnya ada banyak sisi iaitu sebagai Reen Rahim, sebagai pelakon, sebagai anak perempuan, sebagai mami iaitu ibu saudara kepada beberapa anak buah dan sebagai adik perempuan.

“Semuanya adalah sisi yang berbeza. Saya ada Instagram peribadi yang memang khas untuk keluarga dan kawan-kawan yang betul-betul faham sisi sebenar saya.

“Segala perkara dan peristiwa yang berlaku saya muat naik di situ. Ia hanya untuk orang tertentu kerana bagi saya Instagram ini agak comot. Namun, selepas itu saya muatkan gambar-gambar berkualiti,” katanya.

Namun, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula baru-baru ini, Reen terdetik untuk berkongsi sisinya ketika bersama keluarga pula.

REEN mengakui kesilapan yang dilakukan sebelum ini.
REEN mengakui kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

“Sebenarnya saya jarang sangat muat naik gambar atau video bersama keluarga di Instagram. Kalau ada sikit-sikit pun hanya di YouTube.

“Tapi apabila ummi (emak) saya bahasakan saya ketika mengaji baru-baru, saya jadi tertarik untuk kongsi kerana sikap ‘langsi’nya.

“Kata-katanya iaitu saya kalau mengaji berbunyi begini, tapi kalau karaoke bukan main lagi. Ia sebenarnya mencuit hati. Saya bukan nak tunjuk yang saya mengaji tapi hanya nak tunjuk betapa comelnya ummi dengan dialog ini,” katanya.

Menurutnya bermula daripada kiriman itu, dia mendapat banyak maklum balas positif peminat.

“Ada yang DM saya ucap terima kasih kerana video itu buat mereka lebih rapat dengan keluarga. Mereka jadi rindu dengan emak di kampung. Malah, mereka kata akan sentiasa berhubung dengan ibu bapa walaupun jauh masa PKP. Ada yang terus buat panggilan video selepas tengok paparan saya.

“Saya ada terfikir, kalau nak buat baik tak naklah orang tahu kerana tak mahu mereka menilai saya. Biarlah orang nak kata apa pun. Saya lebih suka jadi misteri,” katanya.

BAKAL tampil dalam filem kedua terbitan Datuk Awie.
BAKAL tampil dalam filem kedua terbitan Datuk Awie.

Disebabkan apa dilakukan bawa kesan positif, Reen mahu berkongsi lagi beberapa videonya dengan keluarga dan anak-anak buah.

“Ia bukan benda baru dan bukannya saya berubah. Saya tetap sebagai Reen Rahim yang suka kenakan pakaian ikut cita rasa sendiri.

“Sebenarnya tiada sesiapa boleh menilai orang lain dengan hanya melihatnya berpakaian. Kadangkala ada individu yang nampak sopan pun perangainya lebih teruk lagi. Syukurlah pengikut saya menilai bukan dari luaran,” katanya.

Selain berlakon Reen juga mendedahkan akan terbabit memasarkan produk sendiri tidak lama lagi.

“Ummi yang ‘push’ saya untuk berniaga. Dia ada pengalaman dalam bidang kecantikan dan pernah memiliki spa sebelum ini. Sebelum ini pun ummi dah desak tapi saya belum terbuka lagi hati untuk berniaga.

“Namun saya takut kerana itu bukan bidang saya. Akhirnya mungkin hikmah PKP ini, saya aktif di Instagram dan tengok ‘influencer’ yang berjaya dan positif,” katanya.

Bermula dari situ, Reen akhirnya bersetuju untuk mengikut kehendak ibunya dan bakal mengeluarkan produk sendiri.

BERSYUKUR masih dikurniakan rezeki dalam lakonan.
BERSYUKUR masih dikurniakan rezeki dalam lakonan.

“Buat masa ini biarlah saya rahsiakan dulu produknya. Ia menggunakan formula dan ramuan daripada ummi sewaktu menjaga saya dulu. Kami berjaya cari tempat yang boleh formulakan produk ini hingga jadi menarik,” katanya.

Bercerita mengenai kerjayanya, pelakon filem Syif Malam Raya ini bersyukur kerana rezekinya sentiasa ada.

“Saya kini terbabit dengan drama 26 episod berjudul Hantu Van Sewa untuk Ohsem TV, manakala drama Kisah Mr Cinderella sedang ditayangkan di TV Okey.

“Saya juga akan muncul dengan drama Mak Abang Nak Kahwin terbitan Skop Productions. Filem yang akan datang ialah Sue-On, Hantu Korea Sesat Di Taiping.

“Lakonan adalah cinta saya dan saya tak pernah rasa bosan dengan setiap rezeki dan tanggungjawab yang datang,” katanya.

Menurutnya, sama ada ringan atau berat, itu satu tanggungjawab yang perlu dipikul.

“Saya juga suka buat benda yang baru. Paling terbaru, saya cabar diri buat pengacaraan dan alhamdulillah sudah siap. Tawaran berlakon pun masih sama. Mungkin saya tak popular dan tak banyak drama keluar waktu puncak, tapi syukur rezeki masih ada,” katanya.



Source link

Share This Article