Covid-19: 213 kes baru, 11 dalam masyarakat, Berita Setempat

Covid-19: 213 kes baru, 11 dalam masyarakat, Berita Setempat

SEBANYAK 213 kes baru Covid-19 baru disahkan di Singapura hingga 12 tengah hari semalam, umum Kementerian Kesihatan (MOH).

Ini termasuk 11 kes dalam masyarakat, terdiri daripada enam warga Singapura dan Penduduk Tetap serta lima pemegang pas kerja.

MOH berkata ini menjadikan jangkitan Covid-19 di sini berjumlah 43,459 kes.

Pekerja asing yang tinggal di dormitori membentuk sebahagian besar kes baru itu.

Kelmarin, seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura berusia lima tahun antara 11 kes masyarakat baru yang disahkan MOH.

Budak itu sebahagian daripada kelompok keluarga dua pesakit warga Singapura lain, seorang lelaki berusia 35 tahun dan wanita berumur 34 tahun.

Mereka, yang sudah dikuarantin dan diuji Covid-19, adalah kenalan satu kes yang disahkan sebelum ini dan bertugas di sebuah dormitori.

Secara keseluruhan, jumlah purata kes dalam masyarakat telah meningkat – daripada empat sehari dalam seminggu kepada enam sehari sejak minggu lalu.

Jumlah purata bagi kes yang tidak berkait dalam masyarakat telah bertambah – daripada dua sehari seminggu kepada tiga sehari sejak minggu lalu.

“Dengan lebih banyak kegiatan dibuka semula pada Fasa Kedua (pembukaan semula ekonomi), adalah penting kita terus berhati-hati bagi memastikan jumlah kes baru terkawal,” nasihat MOH dalam satu kenyataannya kelmarin.

Kementerian itu juga mengingatkan penduduk supaya membataskan perhimpunan sosial kepada tidak lebih lima orang untuk mencegah pembentukan kelompok jangkitan besar.

Seorang pesakit Singapura yang disahkan kelmarin ialah lelaki berusia 66 tahun, yang diuji kerana bekerja di dormitori, walaupun beliau tidak menunjukkan simptom penyakit itu.

Sejauh ini Singapura melaporkan 26 kematian akibat komplikasi Covid-19.

Empat kelompok baru dilaporkan kelmarin, dengan tiga merupakan dormitori.

Sehingga kelmarin, sekitar 86 peratus daripada mereka yang dijangkiti Covid-19 sudah pulih sepenuhnya, manakala 174 pesakit masih di hospital, termasuk seorang di unit jagaan rapi (ICU).

Share This Article