KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan tidak menghantar pemain menyertai Terbuka Denmark di Odense bermula 13 hingga 18 Oktober ini selepas saingan Piala Thomas/Uber 2020 di Aarhus ditunda.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata perkara itu sudah pun dibincangkan dan mendapat persetujuan pengarah kejurulatihan, Wong Choong Hann.
“Pada mulanya, kita membenarkan pemain menyertainya disebabkan ia berlangsung selepas Piala Thomas/Uber. Namun, disebabkan Piala Thomas/Uber pun ditunda, jadi kita buat keputusan tidak menyertainya.
“Pemain akan terus kekal berlatih dan mereka juga akan beraksi dalam saingan Piala Presiden yang bermula esok,” kata Kenny kepada BH Sukan.
Terdahulu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi kenyataan dikeluarkan semalam memberitahu saingan Piala Thomas/Uber yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 11 Oktober ini ditunda selepas beberapa negara menarik diri.
Bagaimanapun, badan induk itu memaklumkan saingan Terbuka Denmark yang juga salah satu kejohanan dalam Jelajah Dunia BWF tetap akan berlangsung seperti dijadualkan.
“Kejohanan ini juga akan dijadikan sebagai kayu pengukur bagi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19 dalam memastikan kejohanan antarabangsa dapat kembali bersambung,” kata BWF.